Friday, September 28, 2012

AKUARIUM PERTAMA SAYA 1


MARINE TANK

"PLANTED TANK"

Ramai orang sangat suka melihat akuarium, lebih-lebih lagi sebuah akuarium yang dihias dengan cantik dan dijaga dengan baik. Dengan tema yang berbagai, "planted tank, marine, tropical, community tank", akuarium bukan sekadar menjadi hiasan, tetapi sekarang lebih dikenali sebagai terapi menghilangkan stress. Kalau tak percaya, cuba duduk dan hayati perlakuan dan pemandangan sebuah akuarium yang cantik....pastinya anda terlupa sebentar ketegangan yang melanda, InsyaAllah. Bagi orang Islam pula, dengan menghayati pemandangan sebuah akuarium, kita akan merasa betapa besarnya Allah SWT yang maha mencipta.

Masaalahnya adalah kebanyakan kita TIDAK merancang apabila hendak memasang sesebuah akuarium. Kita tak pasti saiz yang sesuai, konsep akuarium dan lebih teruk lagi kadang-kadang kita tak tahu nak bela ikan apa.  Kita pergi kedai, tengok2, kemudian tanya dengan tokeh kedai. Kalau tokeh kedai tu insan yang jujur, selamatlah kita. Jika tidak, dia akan kata semua boleh, yang penting dapat sale.

Artikel ringkas ini bertujuan untuk menerangkan serba sedikit kaedah penyediaan akuarium yang baik. Tidak semestinya saudara/i menjadi customer saya, yang penting apabila saya mula beroperasi 12 tahun dulu, saya menanamkan keazaman bahawa saya mahu setiap custemer saya merupakan "learned customer", pelanggan berilmu. Oleh itu setiap kali orang baru datang, maka banyak soalan akan dilontarkan sebelum cadangan diberikan. Kami mahu setiap customer yang membeli dari kami akan kekal dengan akuariumnya dan jika boleh akan "upgrade" pada masa hadapan. Prinsip kami jika customer ini happy, InsyaAllah dia akan datang lagi dan InsyaAllah juga dia akan rekomen kami pada sahabat-sahabatnya. 

A.  SEBELUM MEMBELI AKUARIUM

1.  Kenalpasti lokasi dan tempat

Prinsip paling asas dalam memilih tempat adalah :

a) Tidak terdedah kepada cahaya matahari (direct sunlight).
Jika akuarium terkena cahaya matahari, walaupun sekadar cahaya matahari naik belah pagi @   matahari turun belah petang, algae akan sangat mudah hidup dan hasilnya air jadi hijau.
 
b) Jika boleh elakkan kawasan yang paling sibuk dirumah @ pejabat anda. Contoh disebelah pintu utama.
 
c) Anda boleh menikmati pemandangan akuarium ini sambil bersantai bersama keluarga 

2.  Pilih konsep akuarium.

Anda disarankan berbincang dengan ahli keluarga, tema akuarium yang hendak dipasang. Ini adalah kerana untuk mempastikan peralatan yang bersesuaian. Contoh, jika anda mahu membela ikan arowana, hanya seekor ikan ini sahaja yang akan tinggal didalam akuarium tersebut. Ikan ini tidak sesuai untuk dicampurkan dengan ikan-ikan lain.

Kalau anda mahukan akuarium yang "look colorful", akuarium komuniti adalah pilihan yang baik. Jika anda suka ikan-ikan besar, boleh pelihara campuran ikan-ikan sungai seperti lampam, kelah, sebarau dll.

Yang penting PILIH TEMA @ KONSEP akuarium anda.

CONTOH

Akuarium ikan emas


Komuniti akuarium


Akuarium marin



3.  Berapa bajet yang sanggup anda sediakan

Bajet juga memainkan peranan yang penting sebelum membeli sebarang akuarium. Secara asasnya setiap akuarium adalah sebuah bekas yang disediakan dengan meletakkan alam semulajadi didalamnya. Maknanya kita kena mencipta persekitaran yang sebenar bagi setiap ikan yang kita hendak pelihara, tetapi persekitaran itu berada didalam akuarium yang kita bina. Saya tidak berhajat untuk menulis secara detail berkaitan "water chemistry", tetapi asasnya ialah air dan persekitaran akuarium yang dibina itu mestilah sesuai dengan ikan yang kita nak bela.

Jadi dengan asas seperti diatas, maka setiap peralatan didalam akuarium  mempunyai fungsi masing-masing. Persoalannya adakah peralatan yang kita pasang itu akan dapat berfungsi seperti yang sepatutnya. Contohnya sistem penapisan (filter) adakah ia berfungsi sebagai penapis sebenarnya iaitu:
1. Menapis kotoran partikel - proses mekanikal
2. Menukar amonia(racun) kepada nitrate - proses biologi
3. Memberikan kadar pH yang stabil untuk air

CONTOH

EHEIM CLASSIC CANISTER FILTER


INTERNAL FILTER


FLUVAL CANISTER FILTER


HANG-ON FILTER


WET DRY FILTER


Contoh kedua, lampu. Jika anda berhasrat untuk menanam pokok akuatik, maka lampu yang dipasang mesti berkecukupan untuk membolehkan proses photosintesis berlaku. Lampu untuk akuarium tumbuhan sangat berbeza dengan lampu untuk akuarium marin.

CONTOH



LAMPU T8 + METAL HALIDE

LAMPU TERKINI - LED


Ketiga, saiz akuarium. Bertentangan dengan pandangan biasa, sebenarnya lebih besar akuarium itu lebih senang sesebuah akuarium itu dijaga dan semakin kurang masaalahnya. Kita ambil contoh, sebuah akuarium dengan kapasiti 10L dengan akuarium berkapasiti 100L. Bayangkan jika anda menitikkan setitik nila kedalam kedua-dua akuarium ini, tentunya akuarium kecil 10L ini warna airnya akan berubah biru, tetapi akuarium 100L tak jadi apa-apa kesan.




Oleh itu pastikan bajet anda. Peralatan berharga RM30 tidak mungkin menghasilkan kualiti yang sama dengan peralatan yang berharga RM200. Dan sebenarnya inilah yang menentukan kejayaan @ kegagalan projek akuarium anda. Anda melabor lebih sedikit, tetapi jangkapanjangnya, "you can enjoy your aquarium with minimum effort".

B.  MEMBELI DAN MEMASANG AKUARIUM

Setelah anda menjawab segala persoalan diatas, maka tiba masanya untuk pergi shopping akuarium. Prinsip asas membeli akuarium, peralatan dan juga ikan

1)  Jika boleh berborak sedikit sebanyak dengan tokeh @ pekerja kedai akuarium tersebut. Tujuannya adalah untuk mempastikan bahawa tokeh @ pekerja kedai ini ada ilmu berkaitan barang yang dijualnya, bukan sekadar menjual sahaja. Jika berasa selesa dan puashati sila teruskan, jika tidak cari kedai lain.

2)  Walaupun harga penting, kualiti barang @ ikan jauh lebih penting. Kadang-kadang bagi kebanyakan kita ikan tu kelihatan sama sahaja, tetapi sebenarnya tidak. Contohnya ikan emas, ada gred A, ada gred B dan ada yang reject pun, sekali imbas nampak sama sahaja tetapi harganya jauh berbeza. Oleh itu jangan tertipu dengan harga yang murah......

Ok, sekarang pilihan telah dibuat dan tiba masa untuk setting. Jika anda membeli akuarium besar, biasanya kedai akan hantar dan pasang dan jika dipakejkan anda hanya memerhati sahaja akuarium ini dipersiapkan. Bergantung kepada tema dan peralatan yang dipilih, kos setting ini berbeza-beza. Untuk kes ini anda hanya duduk goyang kaki menanti akuarium ini disiapkan.

Jika anda buat sendiri;

1. Letakkan akuarium tersebut ditempat yang telah dikenalpasti tadi. Pastikan kedudukannya rata.
2. Pasang sistem penapisan. Bergantung kepada sistem yang anda pilih kaedah pemasangan adalah berbeza. Sila pastikan anda faham bagaimana penapis akuarium anda bekerja kerana sistem penapisan ini akan menentukan kualiti akuarium anda. Jangan "plug-in" lagi penapis anda ini.
3. Jika anda mahu meletakkan pasit @ batu, pastikan ianya telah dibasih dan dibilas, baru masukkan dalam akuarium. Jika tema anda adalah "planted tank" pastikan anda menggunakan pasir dan substrate yang sesuai dengan tema anda.
4. Sekarang masukkan air kedalam akuarium anda. Isi dalam 30-50% dahulu. Untuk mengelakkan pasir dari berterbangan semasa air dimasukkan, letakkan sekeping piring diatas pasir tersebut. Jangan buka air terlalu laju. Jika anda ada membeli hiasan-hiasan lain, masukkan kedalam akuarium sekarang. Pastikan hiasan yang digunakan sesuai dengan ikan yang akan dipelihara nanti.
5. Penuhkan akuarium dan masukkan anti klorin. Jenama yang baik bukan sekadar membuang klorin, juga membuang kloromin, menutralkan logam-logam berat dan mengurangkan amonia.
6. Pasang penutup akuarium dan letakkan lampu ditempatnya. (Mana-mana yang berkaitan)
7. Sekarang "on" kan penapis anda. Perhatikan jika ada kebocoran atau apa-apa perkara yang sepatutnya. Jika semua dah ok,......take your time and relax. Paling ideal biarkan akuarium ini tanpa ikan sekurang-kurangnya 2 hari. Jika anda mampu menabahkan hati untuk melihat akuarium kosong ini dalam tempoh 48 jam ini, InsyaAllah projek ini telah 50% berjaya.